KUALA LUMPUR, 28 Mei 2019 – Syarikat farmaseutikal terkemuka Duopharma Biotech Berhad (dahulunya di kenali sebagai CCM Duopharma Biotech Berhad) (“Duopharma Biotech”) telah berkerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melancarkan Kempen Op Selamat 15/2019 bersama Proviton sempena musim perayaan ini dengan slogan “Rumah Selamat Sampai ke Destinasi”.


Kempen terbaru ini adalah sebagai menyokong kempen Op Selamat oleh PDRM yang bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan serta kehilangan nyawa di kalangan pengguna jalan raya terutama sekali penunggang motosikal susulan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya terutama sekali semasa musim perayaan.


Bagi menjayakan kempen tersebut Duopharma Biotech telah melantik pelumba MotoGP terkemuka negara Hafizh Syahrin Abdullah sebagai ikon syarikat itu sekaligus menjadi duta produk multivitamin dan mineral Proviton keluarannya.


“Kami berharap kerjasama antara Duopharma Biotech dan PDRM dalam menjayakan Kempen Op Selamat 15/2019 bersama Proviton ini dapat meningkatkan kesedaran di kalangan penunggang motosikal dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan dan kehilangan nyawa. Kami juga yakin penglibatan Hafizh Syahrin dalam kempen ini dapat membentuk dan mempengaruhi para pengikut media sosial beliau terutamanya para penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati ketika memandu,” kata Billy Urudra, Ketua Pegawai Komersial, Duopharma Biotech ketika di majlis pelancaran yang diadakan di Kompleks Beli Belah Suria KLCC.


Melalui kempen tersebut, satu klip video keselamatan yang menampilkan Hafizh Syahrin akan ditayangkan menerusi pelbagai pelantar media sosial termasuk YouTube, Instagram, dan Facebook. Klip video tersebut memaparkan tip-tip keselamatan dan peraturan jalan raya yang perlu dipatuhi oleh penunggang motosikal. Dalam klip video tersebut Hafizh Syahrin menasihati para pengguna jalan raya supaya berhati-hati melalui slogan “Jangan selfish, bawa laju-laju mahu ke mana? Nak berlumba boleh ke trek. OK?”

Proviton yang juga merupakan rakan bijak Op Selamat 15 turut menaja sesi temuramah di radio HotFM bersama YDH CP Datuk Seri Mazlan Bin Lazim, Ketua Polis Kuala Lumpur, bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai Op Selamat. Tahun lalu, Malaysia mencatatkan bilangan kes kemalangan jalan raya yang tinggi sebanyak 548,598, dengan purata satu kemalangan jalan raya setiap minit. Kemalangan jalan raya telah mengakibatkan seramai 6,284 kehilangan nyawa dengan purata 17 kematian setiap hari.


Leave a Reply

Your email address will not be published.